ZAPAR Care Tour 1.0
ZAKAT PERAK AL RIDZUAN KOLABORASI BERSAMA
MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ‘ADAT MELAYU PERAK
“Ya Allah, jadikanlah zakat kami sebagai cahaya yang menerangi laluan hidup kami — cahaya yang menguatkan langkah dalam kesempitan, cahaya yang mendamaikan hati ketika gelap datang bertamu. Jadikanlah zakat itu sebagai jambatan kasih yang menghubungkan kami dengan saudara-saudara yang Engkau uji. Jangan biarkan kami menjadi hamba yang kenyang sendiri, sedangkan di luar sana ada yang tidur bermalam tanpa sebutir nasi”.
18 November 2025 - Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) telah melaksanakan program ZAPAR CARE TOUR 1.0 sebagai inisiatif memperkukuh kefahaman masyarakat khususnya syarikat korporat dan pembayar individu mengenai kewajipan menunaikan zakat dan kepentingan berwakaf. Program ini bertujuan menggalakkan syarikat korporat dan pembayar individu menunaikan zakat serta wakaf, seterusnya meningkatkan kutipan terutamanya melibatkan zakat perniagaan, zakat harta perolehan, serta wakaf tunai. Melalui pendedahan yang diberikan, peserta dapat memahami dengan lebih jelas proses pengagihan zakat dan memberi manfaat kepada asnaf, dengan berkesan yang diuruskan oleh MAIPk.
Selain itu, program ini turut memberi peluang kepada para peserta untuk menyantuni penerima bantuan zakat melalui sesi ramah mesra dan penyampaian sumbangan. Pengalaman ini membolehkan peserta melihat sendiri keberkesanan program agihan zakat dan wakaf yang telah berjaya meningkatkan taraf sosioekonomi asnaf di negeri Perak. Pendedahan terhadap projekprojek wakaf MAIPk juga membantu meningkatkan keyakinan pewakaf sedia ada serta menarik minat pewakaf korporat.
ZAPAR CARE TOUR 1.0 turut berperanan mengeratkan hubungan antara pembayar zakat, pewakaf, pihak korporat, ZAPAR, MAIPk serta komuniti asnaf. Melalui penglibatan langsung dalam aktiviti lapangan, peserta dapat menilai sendiri inisiatif pemerkasaan asnaf dan keberkesanan agihan secara menyeluruh.
Pelaksanaan program ini dijangka memberi impak positif secara langsung dan tidak langsung terhadap peningkatan kutipan zakat dan wakaf di negeri Perak. Antara impak utama yang disasarkan termasuk peningkatan kutipan, pertambahan bilangan pembayar zakat baharu, pengukuhan keyakinan masyarakat melalui penceritaan kejayaan (success stories), serta peningkatan kutipan wakaf tunai hasil pendedahan kepada projek-projek wakaf yang sedang dan telah dilaksanakan.
Secara keseluruhannya, ZAPAR CARE TOUR 1.0 menjadi platform penting dalam memberi pendedahan dan kefahaman kepada golongan sasaran mengenai pengurusan zakat dan wakaf disamping menggalakkan penglibatan syarikat korporat dan individu dalam menyokong pembangunan sosioekonomi umat Islam di negeri Perak.
