Zakat Perak Al-Ridzuan (ZAPAR) telah menganjurkan Taklimat dan Latihan Ejen Pungutan Institusi Pendidikan (Sekolah) Tahun 2026 Fasa 4 sebagai inisiatif bagi memastikan pelaksanaan kutipan zakat dilaksanakan secara lebih sistematik, telus serta mematuhi tatacara kewangan yang ditetapkan.
Program ini bertujuan memberi pendedahan menyeluruh kepada ejen berkaitan prosedur pelantikan, penggunaan portal rasmi, kaedah pungutan melalui buku resit, serta pengurusan dan penyerahan wang pungutan mengikut mekanisme yang telah ditetapkan termasuk penggunaan sistem Virtual Account (VA).
Seramai 13 orang ejen pungutan institusi pendidikan (sekolah) telah menghadiri program ini, melibatkan penyertaan daripada 6 buah sekolah agama di seluruh daerah negeri Perak. Penyertaan ini sekali gus memperkukuhkan penyelarasan dan keseragaman pelaksanaan kutipan zakat di peringkat negeri.
Selain itu, penekanan turut diberikan terhadap aspek pematuhan tempoh serahan, keselamatan pengurusan wang, serta penyelarasan proses kerja bagi meningkatkan kecekapan dan integriti dalam pelaksanaan tugas.
Program ini diakhiri dengan sesi penyerahan Buku Resit Pungutan kepada semua ejen yang hadir sebagai persediaan rasmi bagi pelaksanaan kutipan zakat Tahun 2026.
ZAPAR komited untuk terus memperkukuh tadbir urus kutipan zakat demi memastikan amanah kepada golongan asnaf sentiasa terpelihara dengan sebaiknya