Skip to main content

Khutbah Jumaat

PerakLogo
Amaran!
Pihak Jabatan Agama Islam Perak tidak bertanggungjawab terhadap sebarang penambahan ayat selain daripada kandungan khutbah yang dikeluarkan.

“KEWAJIPAN MEMBAYAR ZAKAT HARTA PEROLEHAN”
13 Disember 2024 / 11 Jamadilakhir 1446

___________________________________________________________________________________________________________________________________________________

Pembuka kata

Jemaah yang dirahmati Ilahi,

    Marilah kita tingkatkan ketakwaan ke hadrat Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan semua larangan Nya; serta mengikhlaskan setiap amal. Semoga dipermudahkan perhitungan kita di Padang Mahsyar, diberatkan timbangan amal kebaikan serta dilimpahi rahmat ihsan Ilahi menjadi penghuni syurga. Mimbar akan menyampaikan khutbah bertajuk:

"KEWAJIPAN MEMBAYAR ZAKAT HARTA PEROLEHAN"

Firman Allah SWT, ayat 77 surah al-Qasas:

وَٱبْتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلْـَٔاخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَآ أَحْسَنَ ٱللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ ٱلْفَسَادَ فِى ٱلْأَرْضِ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْمُفْسِدِينَ

Bermaksud: Dan carilah pahala dan kebahagiaan hari akhirat dengan harta kekayaan yang telah dianugerahkan Allah kepada mu, tetapi jangan kamu lupakan bahagian mu (keperluan dan bekalan mu) di dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepada mu (dengan pemberian nikmat Nya yang melimpah ruah). Janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.

     Harta perolehan atau dikenali sebagai (al-Mal al-Mustafad) merujuk kepada apa juga harta yang diperoleh, dan pendapatan yang diperoleh, merangkumi gaji, upah kerja, elaun, bonus, hadiah dan sebagainya. Ilmuwan Islam berpandangan diwajibkan zakat ke atas hasil pendapatan dan gaji yang diterima. Perolehan harta al-Mal al-Mustafad yang telah ditolak perbelanjaan keperluan asas (kifayah) dan melebihi kadar nisab semasa, wajib dizakatkan tanpa menunggu haul (setahun pemilikan).

     Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang pada November 2023 memperakukan:

Pertama: Segala hasil, pendapatan, pemerolehan atau pulangan atas balasan perkhidmatan berbentuk gaji atau upah, pemberian dan hasil al-mustaghallat atau hasil yang seumpamanya tergolong sebagai harta perolehan (al-mal al-mustafad).

Kedua: Semua orang Islam yang bekerja atau memperoleh harta perolehan di Negeri Perak, diwajibkan membayar zakat harta perolehan, apabila memenuhi syarat dan rukun.
   
    Ayat 77 surah al-Qasas yang khatib bacakan pada awal khutbah, menunjukkan harta yang dikurniakan perlu dimanfaatkan sebaiknya agar mendapat keberkatan dunia dan memperoleh kebahagiaan akhirat. Ahli tafsir al-Razi menyatakan harta seharusnya digunakan pada jalan infak bagi memenuhi bahagian fakir miskin agar mereka juga berupaya meneruskan kehidupan.

   Hikmah pensyariatan ibadah zakat bertujuan menyucikan dan menambah keberkatan harta; membersihkan jiwa daripada sifat-sifat mazmumah seperti bakhil, tamak dan haloba; memupuk sifat ihsan – sifat pemurah, bersedia membantu golongan yang memerlukan. Zakat harta bukan sahaja terdiri daripada zakat perniagaan, simpanan, emas dan perak, malah perolehan daripada gaji dan upah yang diterima setiap bulan, termasuk sebagai harta yang diwajibkan zakat.

Jemaah yang dilimpahi fadilat Ilahi

Mimbar menyenaraikan empat jenis harta perolehan yang wajib dizakatkan:

Pertama: Harta penggajian dan upah; bermaksud harta yang diperoleh oleh seseorang daripada pekerjaan yang dilakukannya dalam bentuk gaji, elaun, bonus, tuntutan kerja lebih masa, ganjaran, pampasan, pencen dan insentif.

Kedua: Harta kerja secara bebas bermaksud harta yang diperoleh oleh seseorang melalui bayaran sebagai kontraktor, perkhidmatan perundingan, hasil penulisan dan penerbitan, kegiatan seni seperti jualan lukisan, serta imbuhan jualan takaful, saham atau hartanah dan sebagainya.

Ketiga: Harta pemberian atau sumbangan bermaksud harta yang diperoleh oleh seseorang, seperti hibah, hadiah, sagu hati, pencen pasangan, pampasan, harta pusaka dan mahar perkahwinan.

Keempat: Al-Mal Al-Mustaghallat bermaksud harta yang diperoleh daripada harta yang tidak diwajibkan zakat tetapi mendatangkan pendapatan melalui jualan, sewaan atau jualan hasilnya, seperti hasil sewaan bangunan, kenderaan dan peralatan; hasil jualan aset alih dan aset tidak alih; hasil jualan tanaman seperti kelapa sawit dan durian, hasil jualan ternakan seperti lembu dan kambing, hasil jualan bahan makanan seperti susu, telur dan madu.

Kiraan layak membayar zakat harta perolehan hendaklah berpandukan:

Pertama: Kira perolehan tahunan yang diterima merangkumi gaji, elaun, bonus, sewaan dan lain-lain perolehan, kemudian ditolak keperluan perbelanjaan asas (kifayah) yang dibenarkan.

Kedua: Bandingkan jumlah perolehan tahunan dengan kadar nilai nisab minimum (85gram emas) atau bersamaan RM31,600 (tiga puluh satu ribu enam ratus).

Jemaah yang dilindungi naungan Ilahi

  Di Negeri Perak, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak merupakan badan yang dipertanggungjawabkan mengurus hal ehwal zakat dan wakaf. Bermula Januari sehingga 31 Oktober 2024, secara keseluruhannya, Majlis Agama Islam telah mengagihkan dana zakat berjumlah 138.47 juta ringgit kepada pelbagai asnaf yang layak, melalui pelbagai skim bantuan. Daripada jumlah tersebut, agihan Bantuan Kewangan Bulanan kepada lebih 12,000 orang penerima fakir dan miskin, berjumlah 47 juta ringgit; bantuan perubatan berjumlah 6 juta ringgit; bantuan Hemodialisis berjumlah 12 juta ringgit; bantuan persekolahan kepada lebih 26,000 orang pelajar berjumlah 5 juta ringgit; dan Bantuan Am Pelajaran fakir miskin dan fisabilillah untuk menampung pendaftaran ke Institusi Pengajian Tinggi berjumlah 9.6 juta ringgit.

     Sejak tahun 2021 sehingga kini, Majlis Agama Islam telah membina 409 buah rumah fakir miskin, dan membaik pulih 1,035 buah rumah fakir miskin, sementara itu, 954 pelajar miskin yang cemerlang diberi Bantuan Biasiswa Pelajaran Baitulmal; 1,191 asnaf fakir miskin diberi latihan keusahawanan dalam pelbagai bidang hingga berjaya meningkatkan pendapatan.

     Mimbar menyeru ummah agar segera menunaikan pembayaran zakat sebelum 31 Disember ini. Hal ini penting bukan sahaja demi melaksanakan kewajipan agama, malah memberikan manfaat langsung kepada pembayar zakat yang layak mendapat 100 peratus rebat cukai pendapatan, jika zakat ditunaikan dalam tahun semasa.

Jemaah Rahimakumullah

Mimbar memperingatkan tiga perkara berikut:

Pertama: Zakat ialah rukun Islam yang wajib dipenuhi. Memenuhi kewajipan berzakat menandakan keimanan – bukti kesyukuran seorang hamba terhadap nikmat kurniaan Ilahi.

Kedua: Amalan berzakat dan berwakaf berupaya membangun dan mengukuhkan ekonomi ummah, yang dapat memberi pulangan kebaikan kepada setiap lapisan masyarakat.

Ketiga: Ummah boleh merujuk di pejabat Baitulmal, amil-amil bertauliah; juga boleh melayari laman web yang disediakan oleh pihak Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak untuk mendapatkan panduan lanjut mengenai kaedah pembayaran dan urusan zakat.

SebelumKhutbahJumaat

Khutbah Kedua

SelepasDoaKhutbahKedua

 

Muslimin yang dirahmati Allah,

    Mimbar menyeru para jemaah agar tetap berpegang kepada aqidah Islamiah berteraskan Ahli Sunnah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin serta yang mengikutinya dari kalangan Asyairah Maturidiah. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadah, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

DoaKhutbahJumaat

Ya Fattah Ya Hadi!, Bukakan pintu hati kami untuk terus istiqamah melakukan amalan berzakat dan berwakaf, demi kebaikan dan kemaslahatan ummah. Dengan harta yang kami infak, Engkau permudah segala urusan kami, lapangkan jiwa kami, diberkati rezeki kami, dilimpahi ihsan Mu ketika kami berada di alam barzakh, dan dipermudahkan perjalanan kami menuju syurga Mu.

Ya Mannan! Ya Razzaq!, berkatilah hamba Mu yang melaksanakan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Aziz! Ya Qahhar! Lindungi Masjid al-Aqsa daripada dimusnahkan oleh rejim Zionis Israel dan limpahi ihsan Mu membela dan mengurniakan kemenangan kepada rakyat di bumi Palestin yang sedang menderita kerana perbuatan zalim rejim Zionis Israel.

Ya Mu’min! Ya Muhaimin! Limpahi rahmat Mu agar negara kami berada dalam keadaan selamat dan makmur, dijauhi daripada bencana dan malapetaka, rakyatnya hidup dalam suasana aman dan muhibah.

Ya Maalikal Mulk!, jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

Ya Muiz! Ya Adzhiim! Ya Kabiir!, kurniakanlah taufik dan hidayah Mu terhadap raja kami, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat diraja dan seluruh rakyat jelata.PenutupDoa